Sunday, April 20, 2008

Sejadah Biru

Sejadah biru tu aku pandang. Terlipat kemas di atas katil. Sudah beberapa minggu atau bulan berkeadaan begitu. Tidak terusik. Entahlah, sampai bila.

Sebelum tidur aku alihkan sejadah ke kerusi bersebelahan katil. Bangun tidur aku letak semula di atas katil. Begitulah rutinnya. Tak pernah di gunakan.

Kalau dulu sejadah tu kerap kali aku cuci. Setiap minggu. Kini sejadah tu makin jarang di cuci. Sentiasa bersih kerana tidak digunakan.

“apa la ko ni, mengasing diri. Lupe ke kat member-member.”, tempelak teman sekuliah aku semasa group discussion kami petang tadi. Aku hanya diam. Malas nak bertekak.

“aku sibuk sket.” jawab aku ringkas.

“kami suma pun sibuk. Ada jugak masa nak kuar sama-sama, tgk wayang, bowling suma. Ko plak yang macam tak cukup masa. Nak kata jam kredit ko banyak semester ni tak jugak. Sama je jam kredit kita 8 jam kredit. Nak kata sibuk tesis kami pun sibuk tesis jugak.” tempelaknya lagi.

“ha’ah la. Ardi yang 26 jam kredit semata-mata nak konvo sekali dengan kita pun ada masa free.”, sampuk sarina. “jomla. Pas abis discussion ni kita kuar. Tgk wayang. Aku belanja ko. Ada muvee baru tau. Dalam kul 530 ni ar tayangan.” Tambahnya lagi.

Aku cuma senyum. Jam sekarang 430 petang. Bermakna tak sampai beberapa minit grup discussion kami kemudian halatuju kami bertukar ke Bandar Kota Kinabalu. Menonton wayang. Aku biarkan pertanyaan sarina tadi tergantung. Tidak berjawab.

Setengah jam perbincangan, selesai. Suasana di foyer fakulti semakin lengang. Maklumlah banyak kuliah tamat ada masa ni.

Aku atur langkah laju. Keluar dari foyer menuju ke bus stop. Beberapa minit perjalanan belum sampai ke bustop sebuah kereta berhenti tepat di sebelah aku.

“hairi. Jom la. Kan dah janji tadi.” Sarina rupanya. Masih mengajak aku keluar untuk tgk wayang. Rata-rata hampir semua teman sekuliah aku memandu kereta. Senang kata mereka. “khairul, ardi pun dah setuju. Dorang tunggu kita kat sana trus. Jomla.” Sarina mula memujuk.

“aku ada hal sket la. Tak dapat pergi. Lain kali ek. Aku janji.” Aku ketandusan alasan. Terpaksa menabur janji. Janji yang entah bila aku dapat tunaikan.

Sarina senyum dan kemudian berlalu. Mungkin dia pun ketandusan kata memujuk aku.

Langkah aku atur semula laju. Beberapa biji bas berlalu semasa aku berbual dengan sarina tadi. Nampaknya aku mungkin terpaksa menunggu lebih lama di bus stop.

Semasa di bus stop, jam menunjukkan 520 minit petang. Aku mula mencongak dan berkira-kira. Bas selanjutnya mungkin lewat.

Aku teguhkan hati. Berkeputusan berjalan kaki menuju ke kolej kediaman. Jalan yang berbukit di kampus UMS membuat aku tercungap-cungap.

Lima belas minit berjalan aku sampai ke bilikku. Penat. Aku capai tuala kemudian ke bilik air. Mandi dan membersihkan diri.

Selang beberapa minit aku sudah siap di bilik berbaju. Wangian aku calitkan ke pergelangan tangan, leher sambil menggosok-gosoknya. Merencana untuk keluar.

Waktu maghrib di sabah awal sejam berbanding di semenanjung. Azan maghrib berkumandang. Sayu dan sayup. Setiap lafaz bagai terus menusuk ke hati aku. Aku keraskan hati. Berjalan menuju ke pintu. Tombol aku pulas perlahan. Keluar dan perlahan-lahan merapatkan pintu. Belum pun pintu habis dirapatkan, aku terpandang sejadah biru di katil. Masih lagi terlipat kemas. Lama aku pandang. Kemudian aku rapatkan pintu.

Entahlah berapa lama lagi sejadah tu akan terbiar begitu. Sepi. Kalaulah kawan-kawan aku yang lain tahu perubahan ni entah apa kata mereka lagi. Pasti ada yang mencebikkan bibir.

Tepat jam 10 malam aku pulang ke bilik. Mula berkira-kira apa yang perlu aku sediakan untuk kuliah esok. Laptop aku capai. Switch on.

Diari islamiah milikku aku buka. Menyelak helaian demi helaian. 17 April 2008, 10 Rabiulakhir 1429H. submit draf tesis, jumpa supervisor, return buku library. Satu demi satu aku baca. Menyemak apa yang utama.

“Assalamualaikum.” Kedengaran salam di beri sayup di luar pintu. Aku buka. Terjengol akh husin.

“Wa’alaikumsalam.” Jawabku. “Masuklah, awat tak gtau nak datang. Nasib ada kat bilik. Klu dak alamat tabah menanti la kat luaq pintu.” Sambung aku lagi dalam loghat utara yang tunggang terbalik.

Akh husin senyum. Dia masuk dan duduk di katil aku. Kami berbual-bual seketika. Sudah beberapa bulan aku bersama akh husin. Dia banyak membantu aku. Berubah perlahan-lahan.

Dulu aku rasa semuanya sudah cukup sempurna. Cukup segala-galanya. Tapi aku silap. Masih banyak yang aku perlu lakukan.

Aktiviti harian aku mula berubah. Jadual harian aku di susun semula. Agar lebih teratur. Lima waktu aku sempurna berjemaah di masjid. Kadang-kadang qiamullail di masjid beberapa kali seminggu. Bangun tahajud di surau blok aku. Aku gembira dengan apa yang aku lakukan.

Sudah lama aku tak sentuh sejadah biru di bilik. Sepinya sejadah itu sama sepinya seperti beberapa tahun dulu. Tapi bezanya, dulu aku rasa kacau melihat sejadah itu sepi. Terlipat kemas tanpa digunakan. Tapi kini aku gembira lihat sejadah itu sepi. Juga terlipat kemas tanpa digunakan.

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.”

(Surah At Taubah : 18)



robbanic generation

88999 kota kinabalu

sabah

No comments: