terbaca berita mengenai penawanan anak kapal malaysia yang juga merupakan krew kapal MISC menarik minat aku. lantas aku cari keratan akhbar mengenai insiden penawanan ini. SAMA-SAMA KITA DOA KEPADA ALLAH AZZA WA JALLA DEMI KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN ANAK KAPAL MALAYSIA DAN FILIPINA YANG DI TAWAN. semoga mereka dapat menunaikan ibadah puasa dan beramal seperti selalunya. amin..
==================================================================
MISC beri jaminan jaga kebajikan anak kapal dan ahli keluarga
KUALA LUMPUR: MISC akan bertanggungjawab terhadap keperluan dan kebajikan ahli keluarga anak kapal miliknya yang ditahan lanun di Teluk Aden, Somalia, sejak 19 Ogos lepas, kata Pengurus Besar Jabatan Perhubungan Korporat MISC, Fiona Clare Pereira.
Beliau berkata MISC akan membantu ahli keluarga anak kapal mendapatkan maklumat berhubung insiden itu dan memastikan kebajikan mereka terjamin.
“Kita harap semua ahli keluarga bersabar dan kita janji akan tunai segala keperluan mereka sebaik-baiknya. Kita amalkan polisi mengutamakan soal menjaga kebajikan setiap pekerja termasuk kepada ahli-ahli keluarga yang terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 19 Ogos lalu, sebuah kapal MISC iaitu kapal MT Bunga Melati 2 dengan 29 anak kapal rakyat Malaysia dan 10 warga Filipina, dirampas oleh lanun di perairan tersebut menyebabkan seorang anak kapal dari Filipina terbunuh terkena peluru sesat.
Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC, Bunga Melati 5, dengan 36 anak kapal rakyat Malaysia dan lima warga Filipina turut dirampas di perairan sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi, ke Singapura.
Pereira berkata berdasarkan maklumat awal, kesemua anak kapal berada dalam keadaan selamat dan rundingan pembebasan masih berjalan.
“Kami harap keluarga mangsa beri kerjasama dan bertenang. Kita faham dan sedang berusaha untuk pastikan anak-anak kapal berkenaan dibebaskan dengan segera. Bagaimanapun, kita tidak dapat ramalkan bila ia akan selesai,” katanya.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Muhamad Hatta Abdul Aziz berkata ketiga-tiga kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia dalam operasi melindungi lima kapal MISC yang belayar di teluk itu telah sampai di sana dan bersedia untuk menjalankan operasi. - Bernama
===================================================================
Bapa kepada anak kapal minta elakkan operasi tentera untuk bebaskan kapal
JOHOR BAHARU: Bapa kepada seorang anak kapal milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) Berhad yang dirampas lanun di perairan Teluk Aden 29 Ogos lepas, Abdul Jabar Abdul Hadi berharap pihak berkuasa Malaysia mengelak daripada melancarkan operasi ketenteraan bagi membebaskan anak-anak kapal itu.
Anak beliau, Rizal Shah, 30, adalah antara 39 anak kapal Bunga Melati Dua - 29 warga Malaysia, sembilan Filipina dan seorang Pakistan yang ditahan lanun itu.
Abdul Jabar bimbang kumpulan lanun tersebut akan mengancam keselamatan anak-anak kapal jika tindakan ketenteraan dilancarkan.
“Kita tidak mahu keselamatan anak-anak kapal diapa-apakan. Saya bimbangkan jika ada operasi tentera, lanun-lanun itu akan bertindak balas dengan mengancam nyawa anak-anak kapal,” kata pesara Percetakan Nasional itu kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Sejurus selepas peristiwa rampasan dua kapal MISC, kerajaan telah menghantar tiga buah kapal perang termasuk pasukan komandonya ke perairan Teluk Aden untuk melindungi kapal-kapal tersebut.
Kapal-kapal itu ialah Friget KD Lekiu; kapal peronda generasi baru KD Pahang; serta KD Sri Inderapura.
Sementara itu, Fuziah Salleh, 50, ibu kepada Rizal Shah, berkata anaknya memberitahunya bahawa beliau (Rizal Shah) dan anak-anak kapal yang lain dikawal gerak geri mereka oleh sekurang-kurangnya 10 orang bersenjata pada setiap masa.
“Perbualan kami berlangsung amat singkat, tetapi saya sempat bertanyakan kepada beliau tentang keadaannya” katanya.
“Rizal juga meminta rundingan untuk membebaskan mereka dilaksanakan dengan cepat kerana bekalan makanan di dalam kapal sudah hampir kehabisan,” kata Fuziah.
Menurut Fuziah, anaknya turut memberitahu bahawa beliau adalah anak kapal yang keempat diberikan peluang menghubungi keluarga pada hari tersebut oleh kumpulan lanun berkenaan.
Kapal itu yang kedua milik MISC dirampas oleh lanun di perairan yang sama selepas kejadian sama berlaku terhadap kapal Bunga Melati Dua pada 19 Ogos.
Menurut Fuziah, Rizal juga menyatakan kesemua telefon bimbit serta komputer riba milik anak-anak kapal itu telah dirampas.
Ibu kepada empat orang anak itu juga berkata, apa yang lebih menyedihkan adalah tahun ini sepatutnya kali pertama anaknya dapat bersama mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri sejak mula bekerja dengan MISC enam tahun lepas.
Rizal, masih bujang, menyertai MISC pada Mac 2002, sejurus selepas menamatkan pengajiannya di Akademi Laut Malaysia (ALAM), di Masjid Tanah, Melaka. - Bernama
====================================================================
MKN pantau perkembangan anak kapal MISC
KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memantau perkembangan 65 anak kapal MISC Bhd (MISC) sejak ditawan lanun di Asia Barat pada 19 Ogos dan 29 Ogos lalu, mendapati mereka berada dalam keadaan selamat dan tidak menerima ancaman nyawa.
Setiausaha MKN, Datuk Muhamad Hatta Abdul Aziz, berkata pihaknya sentiasa berkomunikasi dengan beberapa pihak tertentu bagi memantau keadaan semua anak kapal itu selain berusaha untuk menyelamatkan mereka.
Beliau bagaimanapun berkata, proses rundingan untuk membebaskan kesemua anak kapal itu yang kini dijadikan tebusan oleh lanun berkenaan akan mengambil sedikit masa dan ia tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.
“Perbincangan akan mengambil sedikit masa kerana ia membabitkan pelbagai pihak. Kita tidak boleh tergesa-gesa dalam hal ini dan ia tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata kerana membabitkan lanun di perairan antarabangsa.
“MKN ingin tegaskan di sini bahawa kerajaan sentiasa memantau keadaan anak-anak kapal kita,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Sementara itu, Ketua Pusat Laporan Kegiatan Lanun Biro Maritim Antarabangsa (IMB), Noel Choong, berkata kebiasaannya rundingan dengan kumpulan lanun itu mengambil masa lebih sebulan sebelum anak kapal terbabit dibebaskan.
“Kumpulan lanun ini dalam banyak kes sebelum ini selalunya tidak akan mencederakan anak kapal kerana tujuan mereka sebenarnya adalah untuk mendapatkan wang saja,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
==================================================================
TLDM hantar pasukan khas lindungi anak kapal MISC
KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam menghantar pasukan khas ke Teluk Aden di Yaman dan Somalia bagi melindungi empat kapal MISC Bhd yang sedang berlayar di perairan teluk itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pasukan itu akan mengiringi kapal berkenaan bagi mengelak serangan lanun.
“Keutamaan kita ialah menjaga keselamatan kelasi dan kapal kita,” katanya selepas melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Eastar keluaran Chery Automobile Sdn Bhd di sini.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengulas perkembangan terkini kes rampasan dua kapal MISC di Teluk Aden dan kini masih ditahan lanun di perairan itu.
MT Bunga Melati Lima bersama 41 anak kapal, termasuk 36 rakyat Malaysia dan lima lagi Filipina ditawan lanun pada Jumaat lalu di luar pantai Yaman.
Sepuluh hari sebelum itu, MT Bunga Melati Dua yang membawa 39 anak kapal termasuk 29 rakyat Malaysia ditawan lanun di luar pantai Somalia.
Najib berkata, MT Bunga Melati Dua kini berlabuh di bandar Garacad, Somalia, kira-kira 4.5 batu nautika dari pantai, manakala MT Bunga Melati Lima di bandar Eyl, Somalia, kira-kira enam batu nautika dari pantai.
Beliau berkata, kedua-dua kapal berkenaan berada pada jarak 40 batu nautika antara satu sama lain.
“Setakat ini rundingan sedang berjalan dengan pihak perampas dan belum ada sebarang penyelesaian dicapai. Kita yakin komunikasi dengan kapal MT Bunga Melati Lima akan dapat dibuat lewat petang ini (semalam),” katanya.
Najib bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan terbabit dengan rundingan membayar wang tebusan, sebaliknya ia dilakukan MISC.
“Kita akan mengikut peraturan dan lunas undang-undang antarabangsa,” katanya.
Najib juga berkata, MISC wajar mempertimbangkan untuk mengubah laluan kapalnya berikutan Teluk Aden terlalu bahaya kerana dipenuhi lanun hinggakan kapal milik negara lain turut dirampas.
Sementara itu, MISC dalam satu kenyataannya menjelaskan syarikat itu menghentikan serta merta pelayaran semua kapalnya ke Teluk Aden sehingga langkah keselamatan tambahan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan semua kapal dan anak kapalnya.
===================================================================
MISC, lanun terus runding tebusan
Butir usaha bebas anak kapal tak boleh didedah KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, berkata rundingan masih diteruskan antara pihak MISC Bhd (MISC) dengan kumpulan lanun yang merampas dua kapal tangki milik syarikat itu bagi membebaskan 65 anak kapalnya yang dijadikan tebusan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak boleh mendedahkan butiran terperinci rundingan itu yang ditawan kumpulan lanun di perairan Teluk Aden di Asia Barat dalam dua kejadian berasingan masing-masing 19 Ogos dan 29 Ogos lalu.
Beliau berkata, sebarang pendedahan terhadap butiran rundingan pembebasan tebusan yang sedang dilakukan itu dikhuatiri akan menjejaskan proses menyelamatkan warga Malaysia yang menjadi tebusan dalam insiden terbabit.
“Kita serahkan kepada pihak terbabit, saya tidak boleh dedahkan apa-apa kerana nanti akan menjejaskan usaha menyelamatkan anak kapal kita,” katanya pada sidang media selepas melancarkan majlis pelancaran Rakan Cop Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), di sini, semalam.
Najib yang juga Menteri Pertahanan diminta mengulas mengenai status terkini rundingan yang dijalankan oleh MISC dengan kumpulan lanun yang merampas dua kapalnya di Teluk Aden dan kini masih berada di perairan itu.
MT Bunga Melati Lima bersama 41 anak kapal, termasuk 36 rakyat Malaysia dan lima lagi Filipina ditawan lanun pada Jumaat lalu di luar pantai Yaman. Sepuluh hari sebelum itu, MT Bunga Melati Dua yang membawa 39 anak kapal termasuk 29 rakyat Malaysia turut ditawan.
Sementara itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), mengesahkan beberapa aset ketenteraannya sudah dihantar ke Teluk Aden bagi melindungi lima kapal MISC daripada ancaman lanun.
Bercakap selepas menyaksikan upacara serah dan terima tugas antara Panglima No 1 Divisyen Udara Mejar Jeneral Datuk Jusof Embong dengan Mejar Jeneral Datuk Roslan Saad TUDM Pangkalan Udara di sini, Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Rodzali Daud, berkata aset ketenteraan milik TUDM seperti unit logistik sudah bergerak ke kawasan perairan Asia Barat bagi membantu operasi melindungi kapal yang melalui perairan itu.
===================================================================
Tukar syif terselamat kena culik
Oleh Ifwan Tun Tuah dan Petah Wazzan Iskandar
bhnews@bharian.com.my
 BERNASIB BAIK: Mohd Felani menunjukkan keratan akhbar mengenai laporan serangan lanun. |
Anak kapal tidak jadi tebusan lanun selepas perubahan waktu kerja 28 Julai
KUALA LUMPUR: Pertukaran syif sebulan lebih awal menyelamatkan Mohd Felani Feiyed Mohd Khalid, 22, daripada turut menjadi tebusan kapal MT Bunga Melati 2 yang ditawan lanun di Teluk Aden, Somalia, 19 Ogos lalu.
Mohd Felani berkata, giliran tugasnya dijadualkan tamat pada bulan ini, namun pengurusan memberi arahan pertukaran pada 28 Julai lalu, iaitu 22 hari sebelum MT Bunga Melati 2 dirampas lanun.
Beliau yang ditempatkan di atas kapal MT Bunga Melati 2 sejak mula bekerja lima bulan lalu terkejut dengan kejadian itu, namun bersyukur tidak berada di atas kapal terbabit.
“Saya mendarat pada 28 Julai lalu di Lahad Datu, Sabah selepas berlayar kira-kira lima bulan dan hanya mengetahui mengenai rampasan kapal melalui laporan media, akhir bulan lalu.
“Saya sangat terkejut tapi bersyukur. Bagaimanapun saya bersimpati dengan rakan yang masih berada di atas kapal dan sentiasa mendoakan keselamatan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Setiawangsa di sini, semalam.
Pada 19 Ogos lalu, kapal milik MISC Bhd, MT Bunga Melati 2 yang dalam pelayaran dari Dumai, Indonesia ke Rotterdam, Belanda yang membawa minyak sawit, dirampas di Teluk Aden, bersama 39 anak kapal termasuk 29 rakyat Malaysia.
Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal MISC, MT Bunga Melati 5 bersama 41 anak kapal termasuk 36 warga Malaysia, dirampas di lokasi sama.
Mengulas lanjut, Mohd Felani yakin anak kapal MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 akan selamat kerana semua mereka sering menjalani latihan menghadapi serangan lanun di dalam kapal.
“Kami sudah dibiasakan dengan keadaan serangan lanun olok-olok dan apa yang perlu dilakukan dalam keadaan sebegitu. Harapnya semua selamat dan tidak dicederakan,” katanya.
Bapanya, Mohd Khalid Abu Hassan, 55, berkata pagi tadi (semalam) beliau menerima banyak panggilan telefon dari keluarga di Kedah bertanyakan nasib Mohd Felani selepas namanya turut keluar dalam senarai anak kapal yang disiarkan akhbar.
“Saya menceritakan Mohd Felani selamat kerana giliran tugasnya di atas kapal tamat awal,” katanya.
===================================================================
ATM belum diarah bantu bebas 65 tawanan lanun
Dua kapal perang dihantar ke perairan Asia Barat pantau keadaan KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) belum menerima sebarang permohonan daripada kerajaan atau syarikat perkapalan negara, MISC Bhd untuk membebaskan 65 anak kapal Bunga Melati Dua dan Bunga Melati Lima yang dirampas lanun di Teluk Aden pada 19 dan 29 Ogos lalu.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Abdul Aziz Zainal, bagaimanapun berkata pihaknya sudah menghantar dua kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke perairan Asia Barat bagi memantau keadaan.
“Kita belum dapat permohonan untuk angkatan tentera melaksanakan apa-apa urusan membabitkan penculikan itu, jadi kita hanya pantau keadaan saja,” katanya selepas hadir di majlis penyerahan bungkusan Hari Raya Puasa oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) kepada pasukan keselamatan Malaysia di sini, semalam.
Sebanyak 18,000 kotak diagihkan kepada ATM, 10,000 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 2,000 kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM).
Pada 19 Ogos lalu, MT Bunga Melati Dua yang dalam pelayaran dari Dumai, Indonesia ke Rotterdam, Belanda dengan membawa 32,025 tan minyak sawit dirampas lanun di pesisir Pantai Somalia bersama 39 anak kapal termasuk 29 rakyat Malaysia.
Jumaat lalu, kapal kedua, Bunga Melati Lima dirampas bersama 41 anak kapal termasuk 36 warga Malaysia dalam perjalanan dari Singapura ke Yanbu, Arab Saudi, di perairan luar pantai Yemen.
Difahamkan, kumpulan lanun yang menawan Bunga Melati Dua menuntut wang tebusan RM10 juta sebagai syarat membebaskan tahanan itu.
Abdul Aziz berkata, susulan kejadian ini, dua kapal perang TLDM sudah dihantar ke perairan Asia Barat sejak Sabtu lalu bagi memantau keadaan.
“Saya sahkan kita hantar dua kapal perang ke sana, tetapi tugas kita hanya memantau saja,” katanya.
Katanya, difahamkan MISC sedang berusaha menyelesaikan masalah itu melalui saluran diplomasi dan perundingan.
Susulan rampasan kapal itu, Abdul Aziz memberi jaminan keselamatan perairan negara terkawal.
Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MISC, Datuk Shamsul Azhar memberi jaminan akan sentiasa memaklumkan mengenai perkembangan terkini anak kapalnya yang ditawan kumpulan lanun di Asia Barat kepada keluarga masing-masing selain mengutamakan keselamatan mereka.
Dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam, beliau berkata, pihaknya sudah mengatakan demikian dalam pertemuan dengan anggota keluarga anak kapal itu baru-baru ini.
“Mereka melahirkan rasa bimbang terhadap spekulasi dan laporan negatif media serta meminta pihak media tidak berbuat demikian,” katanya.
===================================================================
26 anak kapal ditawan hadapi bahaya kebuluran
Bekalan makanan hampir habis, mangsa minta keluarga solat hajat KOTA BHARU: Seorang daripada anak kapal MH Melati 5 yang ditahan sekumpulan lanun di Teluk Aden, Somalia, mendedahkan mereka kini berhadapan dengan ancaman kebuluran berikutan bekalan makanan hampir putus.
Khatijah Yusoff, 53, ibu kepada Mohd Nazri Mat Salleh, 22, berkata ketika dihubungi anaknya melalui telefon kelmarin, dia memberitahu bekalan makanan di atas kapal itu hampir kehabisan.
“Dia minta saya memberitahu kepada pejabatnya jika kakitangan pejabat menghubungi saya supaya menghantar bekalan makanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kerasak Limbat di sini, semalam.
Dalam kejadian 29 Ogos lalu, 26 anak kapal MH Melati 5 milik MISC dalam perjalanan dari Dumai, Indonesia ke Belanda membawa muatan minyak ditawan sekumpulan lanun bersenjata api dan meminta tebusan.
Kejadian itu yang kedua berlaku dalam tempoh 10 hari selepas sekumpulan 39 anak kapal MH Melati Dua ditawan di persisiran Pantai Somalia pada 19 Ogos yang kini belum pasti kedudukannya.
Khatijah berkata, selain meminta makanan anaknya juga meminta keluarga di kampung menunaikan solat hajat memohon kepada Tuhan supaya keselamatannya terjamin dan dapat pulang ke pangkuan keluarga dalam masa terdekat.
“Dia (Mohd Nazri) juga memberitahu semua anak-anak kapal berada di dalam keadaan sihat dan tidak membimbangkan,” katanya. - Bernama
==================================================================